CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Ahad, 24 April 2011

Nostalgia Seorang Guru Matematik (Kisah benar)

Sedang  aku meneliti papan kenyataan di ruang legar  IPGKDA,  aku ditegur seorang pemuda pertengahan usia  berumur sekitar 30-an.
“Assalammu’alaikum Cikgu”
“Waalaikum salam.”’ Aku menjawab salam pemuda tersebut walaupun tidak perasan dengan kelibat lelaki tersebut.  Aku menoleh dan meneliti wajah pemuda tersebut.
“Awak Zaini kan, pelajar Sekolah Agama Al Khairiah”
“Ya …Cikgu masih ingat saya lagi.ya ”
“Awak datang dengan Ustadz Fisol untuk ceramah Maulidurrasul ke?” Aku cuba meneka kerana hari itu diadakan Ceramah Maulidurrasul oleh Ustadz Fisol dari Jabatan Agama Islam Kubang Pasu.
“Tidak, saya dah jadi pensyarah kat sini”
“Oh ya ke. Baguslah kalau gitu, tak sangka anak murid Cikgu dah pun jadi pensyarah.  Rasa macam Cikgu baru saja mengajar kamu di SMKAA”
            Sambil berjalan kaki naik ke Jabatan Matematik aku mengelamun seorang diri.
Oh…. Terasa betapa lamanya aku berada dalam dunia pendidikan.  Betapa tidaknya.  Pelajar yang kuasuh dulu pun sudah jadi pensyarah. Congak punya congak aku dah jadi pendidik lebih dua puluh tahun. Tak terasa tempoh itu berlalu. Aku rasa macam baru memulakan karier sebagai seorang guru. Lamunanku semakin jauh. Teringat aku mula-mula aku bertugas sebagai guru majlis di SMKAA….
            Setelah mendirikan rumahtangga aku kembali ke kampong halaman suami di Kuala Nerang. Dengan berbekalkan ijazah sarjana muda dalam jurusan Matematik  aku memulakan karier awal di Sekolah Menengah Agama Al Khairiah, Jalan Pedu. Dengan berbekalkan azam dan cita-cita aku memulakan kerjaya guru tanpa mendapat latihan perguruan. Hanya pengalaman semasa belajar di MRSM dulu yang kugunakan untuk mendidik muridku.
            Sekolah Agama Al Khairiah merupakan sekolah agama rakyat (sekitar tahun 80 an dan 90 an) yang asalnya sekolah pondok dan di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Negeri Kedah. Dengan peruntukan terhad pada masa itu sekolah hanya mampu mempunyai tiga  blok         bangunan, dua bangunan separuh batu separuh kayu dan satu bangunan kayu dua tingkat yang sangat uzur dan strukturnya tidak kuat lagi. Bangunan sekolah kayu itu memang tak pernah kujumpa sebelumnya dan mengingatkan aku pada sekolah dewasa yang terdapat dalam cerita P. Ramli. Di bangunan kayu itulah ditempatkan pejabat dan bilik guru. Kantin yang ada cuma sebuah kedai kopi yang juga  dibuat dari kayu. Di situlah tempat beratus-ratus pelajar berasak-asak untuk mendapat makanan semasa waktu rehat. Aku meneliti pintu pagar kayu yang hampir  roboh. Pagarnya Cuma kawat besi yang dililit pada batang kayu seperti yang kulihat di kebun bapa mertuaku. Di depan pintu pagar terdapat titi besi yang dibuat berlubang-lubang. Pada mulanya aku tidak tahu mengapa dibuat sedemikian rupa. Rupa-rupanya ianya dibuat untuk mengelakkan lembu-lembu dari masuk ke kawasan sekolah.
            “Cikgu … Zainun?”  Ustazah Zaleha pengetua SMKAA menyoalku di ruang bilik
             Pengetua yang sempit dan tidak terurus..
            “Ya”, jawabku ringkas.
            “Boleh ngaja subjek apa?” Ustazah Zaleha menyoalku lagi.
            “Matematik, Bahasa Inggeris, Sains pun boleh untuk menengah rendah” kujawab
             soalan Ustazah Zalehah dengan penuh yakin.
            “Baguihlah cam tu, kami memang nak sangat cikgu Inggeris dan    Matematik.
            Cikgu BI memang lama tak ada. Tak dak siapa sanggup ngaja BI.
            “InsyaAllah saya cuba” Aku mengiakan tanpa banyak soal.
           
            Aku dibawa ke bilik guru yang mempunyai ruang terhad dan diperkenalkan dengan guru-guru wanita. Dari deretan meja panjang yang dikongsi bersama aku diperkenalkan dengan Cikgu Pah, Ustazah Faizah, Cikgu Mariani, Cikgu Nab dan ramai lagi yang namanya aku sudah lupa.  Di meja panjang itulah kami berkongsi beramai-ramai sesama guru wanita. Di meja kayu itulah kami menyiapkan persiapan pengajaran dan memeriksa buku pelajar.  Guru-guru terdiri dari guru lembaga dan guru Jabatan Agama Islam( Sebilangan kecil sahaja).Guru lembaga dibayar elaun RM300-RM500 sebulan. Sebelah petang guru membuat kerja sampingan seperti menorah getah, mengerjakan sawah dan menjaja di pasar malam.     Aku ditugaskan mengajar 33 waktu seminggu, subjek Matematik dan Bahasa Inggeris tingkatan 3 hingga 6 rendah. Aku merupakan guru majlis yang diberi gaji mengikut skim gaji STPM.
           
Kelas yang mula-mula ku masuki ialah bangunan kayu dua tingkat ala-ala sekolah dalam cerita P. Ramli. Dengan menyelusuri tangga kayu aku naik ke bangunan atas. Berkeriut lantai bila di pijak. Seriau aku dibuatnya. Kalau runtuh bangunan ni alamat jadi arwahlah aku.  Maklumlah dulu ni aku belajar kat MRSM. Bangunan cantik, perpustakaan besar berhawa dingin, makmal sains bercambah, segala kemudahan senang diperolehi. Ni nak ngajar sekolah kot ulu banat tanpa sebarang kemudahan. Sumber yang ada cuma buku teks. Perpustakaan pun tak ujud. Yang ada cuma perpustakaan bergerak yang  datang sebulan sekali.
           
“Assalammualaikum. I am Cikgu Zainun… My nickname is  Cikgu Zai.  My hometown is Kuala Lumpur. Can you please introduce yourself”  Aku memulakan kelas Bahasa Inggeris dengan memperkenalkan diri dalam bahasa Inggeris. Pelajar-pelajar  diam sahaja. Malu-malu untuk bercakap. Mungkin pelajar terbiasa dengan cara ustaz dan ustazahnya mengajar dengan cara sehala.(one way communication)
            “Come on class. I  need a volunteer” Aku memberi kata semangat. Kelas masih senyap-sunyi. Tiada siapa pun berani  memperkenalkan diri.
            “Can I talk(speak)  malay  Cikgu”  seorang pelajar lelaki menyoal dari belakang.
            “No, everybody must introduce in English, not in Malay o.k.”  Kelas masih senyap-sunyi. Berbeza sangat dengan kelasku semasa di MRSM dulu. Di sana kami dilatih bercakap, menyoal  dan bergerak aktif dalam kelas. Mungkin mereka terbiasa dengan kaedah sehala. Guru cakap. Murid Cuma diam dan menyalin nota. Aku menulis ayat-ayai Bahasa Inggeris yang ringkas di papan hitam sebagai panduan kepada pelajar.

            “My name is Kamariah. My …. nickname is Maria. My hometown is Kampong
            Lubok Perong.”   Seorang pelajar  perempuan memberanikan diri memperkenalkan dirinya dengan berpandukan ayat-ayat ringkas yang kutulis di papan hitam
            “My name is Mohamad Bin Rejab. Friend  call me Mat Jab.  I come from Kampong Bendang Tok Teri.”  Pelajar kedua memperkenalkan diri. Selepas itu lebih ramai pelajar memberanikan diri untuk bercakap. Tidak lagi diam membisu seperti tadi.  Aku bersyukur kerana mereka sudah menunjukkan keberanian untuk bercakap. Pada mulanya aku agak risau untuk mengajar Bahasa Inggeris kerana peratus pelajar lulus untuk kedua-dua subjek Matematik dan Bahasa Inggeris dalam SPM mencatatkan kelulusan 0 %.
           
Malamnya sebelum tidur aku berfikir bagaimana untuk menarik minat pelajar untuk menguasai Bahasa Inggeris. Aku bukan guru terlatih yang ada ilmu pedagogi, yang tahu metodologi dan kaedah-kaedah pembelajaran terkini, nak guna komputer dan lap top jauh sekali.  Yang ada Cuma keikhlasan hati dan niat murni untuk mempertingkatkan prestasi dan jaya diri untuk pelajar-pelajar yang kukasihi. Bila teringatkan wajah-wajah mereka, semangatku berkobar-kobar untuk mencuba idea-idea baru. Mereka adalah anak-anak penoreh getah yang miskin dan pesawah padi  yang kebanayakannya hidup serba kekurangan. Walaupun pakaian lusuh yang dipakai ke sekolah, tetapi semangat belajar mereka tinggi. Aku sangat kagumi. Mereka benar-benar dahagakan ilmu. Aku perlu buat sesuatu  Aku perlu membantu mereka. Otakku ligat berfikir Mencari idea sehinggalah aku terlena………
           
Aku gunakan semua pengalaman yang kuperolehi semasa menuntuntut di MRSM dulu.Pembelajaran aktif, berkumpulan dan berpusatkan murid. Contohnya dalam topic ‘Visit Beautifu Places” aku bahagikan mereka kepada bebrapa kumpulan.  Setiap kumpulan diminta menyediakan ‘Brochure’ untuk tempat-tempat menarik yang mereka ingin iklankan. Mereka berbincang dalam kumpulan, Mencari bahan dan gambar dari akhbar dan majalah terpakai, menggunting dan melekatkan di atas kertas mahjong. Masa tu sumber internet tidak ada. Yang ada cuma akhbar-akhbar dan majalah lama yang kubawa dari rumah.  Strategiku boleh dikatakan berjaya kerana murid mula berbincang dan melibatkan diri secara aktif dalam kumpulan. Perbincangan mesti dalam Bahasa Inggeris kerana setiap perkataan melayu yang dikeluarkan akan didenda sepuluh sen.  Dari pemerhatian yang kubuat pelajar kelihatan seronok menyiapkan tugasan. Mereka tidak lagi diam membisu seperti mula-mula aku masuk ke kelas mereka. Begitu juga bagi topik-topik yang lain. Aku cuba mengujudkan suasana di mana pelajar dapat bergerak dalam kelas, mengujudkan interaksi sesama mereka dan dapat mengeluarkan pendapat. Alhamdulillah strategiku berhasil.
           
Strategiku yang kedua ialah untuk menggalakkan mereka membaca bahan bacaan dalam Bahasa Inggeris. Membaca sangat penting untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris. Itulah pesan cikgu semasa aku menuntut di MRSM Kulim dulu. Aku menyediakan satu ruang membaca di belakang kelas.  Duit denda  tadi kugunakan untuk membeli buku-buku cerita disamping menggunakan wang dari poketku sendiri. Untuk menambah koleksi buku, aku juga meminjam buku  dari perpustakaan  bergerak yang datang ke sekolah sebulan sekali. Pelajar-pelajar diminta membuat ‘Book Report” dari bahan bacaan yang mereka baca. Pelajar yang membaca paling banyak buku akan diberi hadiah. Pelajar berlumba-lumba untuk membaca buku cerita untuk mendapatkan hadiah yang kutawarkan dan kesannya minat mereka beklajar Bahasa Inggeris semakin mendalam dan markah Bahasa Inggeris semain baik.
           
Untuk membaiki kemahiran menulis, aku membuat pertandingan puisi dan lagu dalam BI di kalangan pelajarku. Mereka menterjemahkan lagu bahasa melayu ke Bahasa Inggeris, mencipta sajak mudah dalam Bahasa Inggeris. Lagu dan puisi tersebut dilagukan dalam kelas. Apa lagi. Bukan main seronok mereka sehinggakan Ustazah Zalehah hairan kenapa kelas Bahasa Inggerisku bising sangat. Tak seperti kelas Agama atau kelas Bahasa Arab. Padaku bising biar bertempat. Asalkan mereka belajar sesuatu dari aktiviti yang dilakukan.
           
Untuk kelas Matematik aku cuba menanam minat terhadap subjek tersebut. Perkataan ‘Math is Mad’  atau ‘Math make me mad’ kubuangkan jauh dari lubok hati  mereka.  Satu punca kelemahan pelajar ialah tidak boleh menghafal sifir.  Walaupun sudah berada di sekolah menengah tapi masih ramai yang tidak menghafal sifir.  Masalah yang lain ialah tidak menyiapkan kerja rumah Matematik.  Aku selalu mengingatkan mereka betapa pentingnya Matematik dalam kehidupan seharian.  Bila mengajar aku beri contoh-contoh yang dekat dengan mereka. Kalau nak beli ikan dan sayur di pasar pun perlu pandai mencongak supaya tak mudah ditipu. Nak bahagi harta pusaka pun perlu tahu Matematik pecahan. (Aku ambil contoh ni sebab mereka belajar bab Faraid dalam kelas Agama). Nak berurusan di bank pun perlu tau Matematik. Pokoknya Matematik sangat penting dalam kehidupan seharian ibarat irama dan lagu tak boleh dipisahkan. Aku  minta mereka menghafal sifir di rumah. Sesiapa yang tidak menghafalnya akan didenda. Aku tekankan betapa ruginya orang yang tidak menguasai Matematik.  Untuk membantu mereka menyiapkan kerja rumah Matematik aku mengajak mereka ke rumah pada waktu malam untuk mendapatkan bimbingan dariku. Free of charge. Mereka sanggup mengayuh basikal 4 hingga 5 kilometer untuk mendapat kelas bimbingan percuma di rumahku.  Aku kagum dengan minat yang mereka tunjukkan. Tiada apa yang aku inginkan selain melihat anak didikku berjaya menjadi insan berguna.
           
Setelah lebih lima tahun aku di sana tibalah masanya untuk aku berangkat pergi. Meninggalkan murid-murid yang disayangi terutama Kelas 5A yang  telah kudidik  sejak mereka tingkatan 1 lagi. Aku terpaksa pergi untuk menyambung pelajaran di peringkat Diploma Perguruan(KPLI) di IPSAH. Berat juga hatiku untuk pergi kerana tenagaku masih diperlukan di sini. Bukan senang untuk mencari guru BI dan Matematik yang berkelayakan di sekolah agama rakyat seperti SMKAA.. Aku terpaksa pergi juga untuk menambah ilmu di dada. Perjalanan hidupku masih panjang. Ilmu di dada masih tersangat kurang. Tambahan pula pihak penganjur (MARA) yang membiayaiku menyambung pelajaran di luar negara sudah acap kali menghantar surat cinta (Untuk melangsaikan hutang pembiayaan pendidikanku di Amerika Syarikat).

Hari terakhir di SMKAA pelajar membuat jamuan khas untukku.  Hari itu aku terima berbagai hadiah dari mereka. Fadhli ketua kelas menghadiahkan pen parker dan sebuah puisi bertajuk “Kau Guruku’. Kamariah memberi sejadah, Halimatun Saadiah memberikan kain batik Jawa dan berbagai lagi hadiah terakhir yang kuterima.  Walaupun kutahu mereka bukan anak orang berada, mereka sanggup mengeluarkan duit poket untuk membeli hadiahuntukku. Aku ingatkan mereka hadiah yang paling berharga untukku ialah dengan mendapat keputusan cemerlang dalam SPM yang tinggal beberapa bulan saja lagi.  Walaupun aku tiada bersama mereka lagi, aku akan tetap mendoakan kejayaan mereka. Ucapan terakhirku diiringi dengan pelukan dan air mata. Air mata jernih tergenang di kelopak mataku. Selamat tinggal muridku….

            Lima tahun enam bulan aku di SMKAA. Banyak pengalaman yang kudapat  Aku belajar mengenal erti perngorbanan diri dan keikhlasan hati, kesederhanaan hidup dan bersyukur dengan apa yang ada. Aku tak pernah tahu apa itu DG, apa itu penilaian prestasi dan tak pernah naik gaji. Yang kutahu aku akan dinilai di hadapan Allah kelak tentang apa-apa kerja buat yang aku lakukan.  Matlamatku hanya untuk mencari keredhaan illahi dan semoga ilmu yang kucurah memberi manafaat buat pelajar-pelajar yang dikasihi.
            Penat jerih yang kucurah selama hampir enam tahun di SMKAA bukanlah sebesar mana tapi cukup beerti buatku. Alhamdulillah dengan kehadiranku di SMKAA telah dapat meningkatkan peratus kelulusan Subjek Bahasa Inggeris kepada  dari 0% kepada 18% dan Subjek Matematik  dari 0% kepada 16%.  Walaupun peratus lulus tidaklah begitu besar tetapi bagiku sangat bermakna sekali. Hadiah yang teristimewa buatku ialah bilamana tiga orang anak didikku berjaya melanjutkan pelajaran ke UIA seteleh mendapat keputusan cemerlang dalam SPM. Sebelumnya tidak ada pelajar SMKAA yang mendapat tempat di IPTA  tanpa melalui tingkatan 6. Aku sangat bersyukur kepada Allah kerana segala penat jerihku telah menampakkan bunga-bunga kejayaan.
           
SMKAA telah lama kutinggalkan. Anak didikku ramai yang telah bergelar guru, pensyarah, pegawai agama, tok kadhi dan berbagai lagi.  Salah seorang dari mereka ialah Ustadz Zakaria Othman yang sering muncul sebagai sebagai perantara bagi majlis-majlis kuliah agama dikaca tv.  Zakaria budak Naka yang datang ke sekolah dengan pakaian lusuh, kini sering muncul di kaca tv dengan pakaian segak berbaju melayu.  Aku dengan bangganya memberitahu anak-anakku. “Itulah student Ummi masa di Khairiah dulu”. Kuharap kejayaan pelajarku menjadi inspirasi kepada anak-anakku.

            Walaupun kini hampir 17 tahun aku meninggalkan SMKAA, prinsip hidupku tetap sama.  Kerjabuat kita bukan sahaja dinilai oleh ketua jabatan atau diukur dengan penilaian prestasi. Yang penting kita ikhlaskan hati dalam segala kerjabuat kita supaya segala perbuatan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah. Buat kerja dengan bersunguh-sungguh dan bukan untuk kenaikan pangkat atau naik DG.  Sayangi profesion yang mulia ini dan sayangi anak didik kita dan didik mereka dengan seikhlas hati. InsyaAllah segala usaha kita akan diberkati, dimurahkan rezeki  dan mendapat ganjaran Allah semasa hidup di dunia lagi apatah lagi di akhirat nanti.

            Untuk anak-anak muridku yang pernah kuasuh di SMKAA dan di IPGKDA, sama-samalah kita meneruskan perjuangan ini  untuk mendidik anak bangsa yang sangat dahagakan bimbingan dan kasih sayang kita. Bekerjalah dengan seikhlas hati dan ingatlah bahawa seorang pendidik adalah pendakwah  yang menyeru kepada kebaikan.  Jangan lupa bahawa Allah, para malaikat, penghuni langit dan penduduk bumi, malah segala makhluk hidup sehingga ikan paus di lautan dan semut hitam di dalam sarang berselawat dan memohon ampun untuk orang yang mengajar kebaikan kepada manusia….
            Ingatlah  …Sekali menjadi guru. Jadilah guru untuk selama-lamanya……

Coretan Kenangan:
Hajah Zainun Bt. Ismaon
Jabatan Matematik
IPG  Kampus Darulaman.